KUALA LUMPUR, 22 April - Persatuan Olahraga Selangor (POS) merayu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk campur tangan mengenai isu pembatalan pendaftaran badan sukan negeri itu mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997.
Presidennya Norhayati Karim berkata, satu surat rayuan sudah pun dihantar pada 20 April lalu berhubung pembatalan yang dibuat oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).
(Norhayati ketika menyatakan isu pembatalan pendaftaran badan sukan negeri Selangor)
"Saya mewakili pucuk pimpinan baharu POS telah melalui surat kami yang bertarikh 20 April, merayu kepada Menteri Belia dan Sukan untuk pertama, membatalkan notis pembatalan tersebut, dan kedua, menguatkuasa Seksyen 22 Akta Pembangunan Sukan, dengan itu melantik Jawatankuasa Induk Baru Pos sebagai jawatankuasa segera," kata Norhayati di sini.
PJS sebelum ini mengesahkan pendaftaran POS dibatalkan dengan alasan badan induk itu tidak lagi aktif dan bukan entiti yang patut didaftarkan untuk mewakili sukannya di mana-mana negeri atau di Malaysia.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan semua pemilihan termasuklah kepimpinan terdahulu badan olahraga tersebut itu adalah tidak sah.