fb fb fb fb fb

Melaka juara Kejohanan Besbol U12 Kebangsaan

Foto RTM

SERDANG, 28 September - Pasukan Melaka muncul juara Kejohanan Besbol U12 Kebangsaan 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Padang Besbol Universiti Putra Malaysia (UPM).

Naib juara menjadi milik Johor, manakala tempat ketiga diraih Negeri Sembilan.

Pasukan Flash dari Indonesia pula menamatkan saingan di tempat keempat.

Presiden Persekutuan Besbol Malaysia (BFM), Sazali Husain, berkata pengajuran kali ketiga ini berjaya menarik lapan pasukan termasuk dua dari Indonesia dengan penyertaan kira-kira 160 atlet.

"Alhamdulillah, kita sampai ke hari kemuncak dengan perlawanan akhir yang cukup sengit. Saya gembira kerana semua pasukan menunjukkan prestasi baik, termasuk penyertaan dari jiran tetangga Indonesia."

"Kejohanan ini penting untuk pembangunan besbol negara kerana atlet-atlet muda berusia 12 tahun ini akan dikenal pasti untuk diserapkan ke Program Pembangunan Tunas Negara," katanya.

Buat julung kali, penganjur turut memperkenalkan anugerah individu Dream Team U12 bagi mengetengahkan bakat baharu ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, pegawai Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Suhardi Alias, menyifatkan kejohanan kali ini cukup meriah dengan sokongan padu daripada ibu bapa, masyarakat setempat dan penaja.

"Saya rasa kejohanan ini wajar dianjurkan lebih kerap untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu yang boleh diketengahkan di persada antarabangsa," katanya selepas merasmikan penutupan Kejohanan Besbol U12 Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID