FOTO AFP
LONDON,12 Februari- Pasukan Formula One, McLaren memperkenalkan jentera baharu mereka bagi saingan musim 2022 pada Jumaat.
Principalnya, Andreas Seidl optimis jentera baharu tersebut mampu mengurangkan jurang kepantasan dengan pencabar lain di hadapan.
Jentera McLaren itu menampilkan warna jingga 'betik' dengan disulami jalur berwarna biru.
Ia diperkenalkan oleh pasukan yang berpangkalan di Woking, England itu dalam satu majlis secara maya.
Pelancaran itu dibuat selepas pemandu Britain, Lando Norris menyambung kontrak baharu dengan McLaren sehingga 2025.
Manakala pemandu utama, Daniel Ricciardo yang bersama mereka sejak dua musim lalu, masih memiliki baki kontrak selama dua tahun lagi.
Pemandu kelahiran Australia itu menghadiahkan kemenangan Grand Prix sulung buat McLaren sejak 2012 pada saingan di Litar Monza musim lalu.
Dilancarkan ketika GP Monaco pada 1966 oleh pemiliknya, Bruce McLaren, pasukan tersebut berada di tempat kedua di belakang Ferrari dalam segi pencapaian kejuaraan sejak setengah abad lalu. -AFP