fb fb fb fb fb

Seorang pemain B-23 kebangsaan positif COVID-19 di Kemboja



KUALA LUMPUR, 12 Februari- Seorang pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan disahkan positif selepas tiba di Phnom Penh, Kemboja bagi menyertai Kempen Piala AFF B-23 2022.

Perkembangan itu disahkan pengendali skuad B-23, Brad Maloney menerusi sidang media secara maya, pada Sabtu.

Katanya, ini bermakna skuad negara kehilangan khidmat seorang lagi pemain bagi menyertai Kejuaraan B-23 AFF, susulan keputusan positif COVID-19 pemain itu

"Sejurus tiba, pasukan menjalani ujian calitan seperti ditetapkan protokol dan seorang pemain kita disahkan positif COVID-19 menerusi ujian yang dijalankan pagi tadi.

"Pasukan perubatan sudah mengendalikan perkara ini dan kita akan terus mematuhi protokol yang ditetapkan. Pemain itu dibawa ke kemudahan perubatan untuk menjalani pengasingan dan dia akan kekal di sana," katanya dari Phnom Penh.

Sebelum ini pada Rabu lalu, skuad B-23 negara berdepan situasi kurang baik apabila salah seorang pemain disahkan positif COVID-19.

Safwan Mazlan terpaksa digugurkan daripada skuad berkenan apabila disahkan positif selepas menjalani ujian sebagai sebahagian daripada protokol biasa yang dibuat ke atas semua pemain.

Skuad B-23 akan bersaing dengan hanya dua pasukan dalam Kumpulan B selepas juara bertahan, Indonesia menarik diri susulan tujuh pemain dan seorang pegawai pasukan mereka disahkan positif COVID-19.

Kumpulan A menampilkan tuan rumah Kemboja, Timor Leste, Filipina dan Brunei.

Sementara Kumpulan C turut dibarisi tiga pasukan iaitu Thailand, Vietnam dan Singapura.

Malaysia akan membuka tirai berdepan Myanmar pada Selasa ini sebelum aksi kedua menentang Laos pada Jumaat depan.

Empat pasukan akan berentap di separuh akhir pada 24 Februari sementara final dijadual berlangsung pada 26 Februari.

Media Baharu