fb fb fb fb fb

Megat Azrafiq terajui Skuad Pembangunan Hoki Lelaki Kebangsaan

 

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan Megat Azrafiq Termizi dan A. Kannagi sebagai Ketua Jurulatih bagi Pasukan Pembangunan Kebangsaan lelaki dan wanita.

Kedua-dua jurulatih ini bakal memikul tugas membawa skuad muda negara beraksi di Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 pada 18 Februari hingga 31 Mac.

Presidennya, Datuk Sri Subahan Kamal menjelaskan, kedua-dua jurulatih ini akan dibantu barisan kejurulatihan mantap terdiri daripada bekas pemain dalam misi melahirkan lebih ramai pelapis muda.

"Misi mereka bukan untuk menang piala, kerana mereka bakal menentang pasukan kuat, fokus kami untuk memberikan pendedahan secukupnya kepada mereka."

"Kami akan selaraskan pemain ini dengan pemain di dalam program NHDP bagi membentuk kelompok pemain, kami akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghantar mereka bertanding dalam kejohanan serta merancang mengadakan satu pertandingan antarabangsa peringkat umur di Malaysia,"kata Subahan

Azrafiq bakal dibantu tiga penolong jurulatih iaitu, Mohd Sufian Mohamad selain dua bekas pemain Kebangsaan, Baljit Singh Charun Singh dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Selain itu, legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi turut dilantik sebagai Pengurus Pasukan sementara.

Bagi pasukan wanita, A. Kannagi akan dibantu Mohamad Sabri Mohamad dan Siti Rahmah Othman yang berperanan sebagai Penolong Jurulatih dan Pengurus Pasukan. 

Media Baharu