PUTRAJAYA, 12 Februari - Membawa semangat Keluarga Malaysia, 10 pendaki negara termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) akan menawan Gunung Everest pada 26 Mac hingga 11 Jun ini.
Menurut Presiden Kelab Eksplorasi Altitud merangkap Ketua Misi Malaysia Everest (ME 2022), Azim Afif Ishak ekspedisi yang melibatkan pendaki daripada pelbagai kaum dan latar belakang itu menonjolkan semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat Malaysia.
"Dalam suasana COVID-19 memang sangat mencabar terutama dari segi latihan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pemeriksaan turut dilakukan di Klinik Perubatan Sukan Hospital Selayang untuk memastikan tubuh badan berada dalam keadaan baik," katanya kepada media di sini hari ini.
Selain seorang OKU, ekspedisi ini buat pertama kali turut disertai anggota keselamatan dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Misi Malaysia Everest dirancang pada tahun 2019, namun terpaksa ditangguhkan ekoran COVID-19 yang melanda dunia.
Bagaimanapun, pandemik yang berlaku tidak mematahkan semangat 10 pendaki negara untuk meneruskan misi tersebut.