ISKANDAR PUTERI, 25 Oktober – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menunjukkan dominasi luar biasa dalam saingan Liga Super apabila membelasah Brunei DPMM FC, 10-0, di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Kemenangan bergaya itu bukan sahaja mengekalkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Selatan, malah mengukuhkan kedudukan mereka di puncak carta liga.
Babak pertama menyaksikan Bergson Da Silva tampil cemerlang dengan hatrik peribadi menerusi tandukan minit ke-9, sepakan penalti minit ke-34, dan jaringan ke-36.
Malang menimpa pasukan pelawat apabila pertahanan Syafiq Shafiuddin dilayangkan kad merah pada minit ke-33, memaksa Brunei DPMM beraksi dengan hanya 10 pemain.
Pemaian JDT Bergson Gustavo Silvera Da Silva (tengah) bersama Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri), meraikan gol pertama ketika menentang Brunei DPMM FC, dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim/BERNAMA
Oscar Aribas menambah derita pasukan lawan selepas menjaringkan gol keempat JDT pada minit ke-45, hasil hantaran jauh tepat daripada penjaga gol.
Bersambung babak kedua, Manuel Hidalgo menyumbang gol kelima pada minit ke-56 sebelum Yura Indera Putera Yunos menjaringkan gol sendiri pada minit ke-63.
Pemain sayap lincah Ariff Aiman, disusuli Bergson dan Jairo Da Silva, masing-masing menambah jaringan pada minit ke-68, 72 dan 81 untuk terus mengukuhkan dominasi tuan rumah.
Romel Morales kemudian menutup malam penuh bergaya JDT apabila meledak gol ke-10 pada minit ke-88, melengkapkan kemenangan terbesar pasukan itu musim ini.