KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membincangkan semula kadar ganjaran di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi atlet pekak yang meraih pingat di Deaflympics Tokyo 2025, bersama Majlis Sukan Negara (MSN), bagi memastikan semua atlet diraikan secara adil dan saksama.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata perbincangan itu penting supaya kadar ganjaran yang bakal ditetapkan kelak sejajar dengan kemampuan dana kerajaan serta prinsip kesaksamaan antara semua kategori atlet termasuk atlet normal, para, pekak dan Olimpik Khas.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh/BERNAMA
“Bagi SHAKAM untuk Deaflympics, kita akan berbincang dahulu dengan MSN seperti yang saya nyatakan. Tahun ini sahaja, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru memperkenalkan dana khas untuk mereka.
"Jadi, kita perlu pastikan dana itu mencukupi, dan jika mahu menyalurkan ganjaran, kadarnya perlu ditentukan secara wajar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Bola Sepak CelcomDigi Kanak-Kanak di sini, hari ini.
Hannah menegaskan, KBS sentiasa menghargai pengorbanan semua atlet negara, namun proses semakan perlu dilakukan secara berhemah dan inklusif agar setiap keputusan yang dibuat mengambil kira kemampuan jangka panjang kerajaan.
Terdahulu, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) menerima surat daripada MSN bertarikh 17 Oktober yang memaklumkan bahawa Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia tidak dapat dipertimbangkan dalam struktur pembayaran SHAKAM.
Pada temasya edisi kedua itu, atlet pekak negara berjaya membawa pulang 25 pingat emas, 16 perak dan 11 gangsa, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan.