PETALING JAYA, 25 Oktober β Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila menjadi antara negara terawal dalam kalangan ahli gabungan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang melancarkan padang mini pertama menerusi projek global Arena FIFA, bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana, Petaling Jaya.
Inisiatif berimpak tinggi itu merupakan sebahagian daripada sasaran FIFA untuk membina 1,000 padang mini di seluruh dunia, khusus bagi memberi manfaat kepada kanak-kanak serta pemain muda di peringkat akar umbi.
Presiden FIFA, Gianni Infantino yang hadir merasmikan majlis pelancaran berkenaan, menyifatkan projek tersebut sebagai langkah penting dalam memperkukuh pembangunan bola sepak akar umbi di Malaysia.
Presiden FIFA, Gianni Infantino/BERNAMA
βIni hanyalah salah satu contoh usaha yang boleh kita lakukan untuk kanak-kanak. Apabila masyarakat melihat hasilnya, saya yakin lebih ramai akan terpanggil untuk membina Arena FIFA di seluruh Malaysia.
"Kami di sini untuk membantu merealisasikan projek ini bersama kerajaan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan FIFA, agar lebih banyak padang seperti ini dapat dibangunkan di seluruh negara,β katanya pada sidang media di SK Sri Kelana, di sini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin; Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi; serta Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John.
SK Sri Kelana dipilih sebagai lokasi pertama pelaksanaan projek berkenaan di Malaysia, selaras dengan komitmen yang pernah disuarakan Gianni Infantino semasa Sidang Kemuncak Sukan Mampan di Paris, Julai tahun lalu.
Setiap padang mini berukuran 20x40 meter itu dilengkapi rumput tiruan berkualiti tinggi, pagar keselamatan, dinding pelindung, serta jaring keliling bagi memastikan keselamatan pemain muda sentiasa terjamin sepanjang sesi latihan dan permainan.