fb fb fb fb fb

KBS lancar Projek Dengar Rakan Muda, bantu tangani isu kesihatan mental belia

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tiga, kiri) ketika gimik perasmian program Projek Dengar Rakan Muda/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Projek Dengar Rakan Muda, sebuah inisiatif bawah gaya hidup Rakan Prihatin, dilancarkan bagi menyediakan platform sokongan mental dan emosi kepada golongan belia di seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata projek tersebut diwujudkan bagi mewujudkan ruang selamat kepada belia untuk berkongsi masalah serta berinteraksi dengan sukarelawan terlatih secara percuma, dalam usaha membantu meredakan tekanan emosi yang dihadapi.

Katanya, isu kesihatan mental kini menjadi antara cabaran sosial terbesar yang dihadapi belia Malaysia dan perlu ditangani segera melalui pendekatan empatik dan menyeluruh.

2510 HANNAH PROJEK DENGAR 2Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh/BERNAMA

“Satu daripada empat pelajar berumur 13 hingga 17 tahun berdepan kemurungan, manakala 12 peratus remaja di PPR Lembah Klang pernah terfikir untuk mencederakan diri atau membunuh diri.

"Statistik ini sangat merisaukan kerana enam daripada 10 belia mengalami simptom kemurungan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Projek Dengar Rakan Muda di ibu negara, hari ini.

Beliau turut menyeru golongan belia yang berdepan tekanan mental supaya mengambil peluang hadir ke sesi Projek Dengar Rakan Muda, yang dikendalikan oleh pakar dan sukarelawan terlatih dengan perkhidmatan diberikan secara percuma.

“Saya menjemput semua belia yang berdepan kemurungan untuk hadir ke sesi ini. Pakar-pakar akan mendengar masalah anda, dan anda tidak perlu risau kerana perkhidmatan ini disediakan secara percuma,” tambahnya.

Projek rintis ini dijayakan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan kerjasama UEM Sunrise Berhad, Publika Shopping Gallery, serta pertubuhan bukan kerajaan The Befrienders.

“KBS dengan kerjasama UEM Sunrise telah menyediakan ruang di Publika secara percuma untuk tiga sesi tahun ini.

"Help University dan The Befrienders pula menyediakan sukarelawan terlatih bagi membantu belia yang berdepan tekanan mental dan emosi.
Jika dapatan projek ini positif, kami akan memperluaskannya ke seluruh negara,” jelas beliau.

Hannah turut menggesa belia yang berhadapan dengan tekanan emosi atau mental supaya mendapatkan bantuan segera melalui talian HEAL 15555, atau hadir ke sesi Projek Dengar Rakan Muda untuk berkongsi cerita serta mendapatkan bimbingan.

Perkhidmatan Projek Dengar Rakan Muda boleh didapati di The Square, Publika Shopping Gallery, pada Sabtu minggu pertama setiap bulan, bermula 10 pagi hingga 2 petang, mulai 1 November 2025.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN