fb fb fb fb fb

FIFA kemungkinan tidak ubah keputusan hukuman terhadap FAM, pemain warisan

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail/BERNAMA

PETALING JAYA, 25 Oktober – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berpandangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkemungkinan besar tidak akan mengubah keputusan berhubung hukuman yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Baginda bertitah, FIFA mempunyai prosedur undang-undang teknikal yang ketat dan amat jarang membuat pindaan terhadap keputusan yang telah dimuktamadkan.

“Kalau ikut cara FIFA bekerja, jarang keputusan diubah. Jadi saya rasa, kita kena teruskan fokus ke depan. Yang lepas, biarlah jadi pengajaran,” titah baginda dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Tunku Mahkota Ismail menegaskan Malaysia perlu melihat perkara tersebut dari sudut positif dengan menjadikannya pengalaman untuk memperkukuh struktur pentadbiran bola sepak negara, agar situasi sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Kita bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, namun itu tidak bermakna kita harus berhenti. Kita perlu terus melangkah sehingga mencapai matlamat yang diharapkan demi meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan serta pembangunan bola sepak tanah air secara keseluruhan,” titahnya lagi

Baginda turut percaya, FAM akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan isu berkenaan, termasuk mempertimbangkan tindakan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).

Dalam masa sama, Tunku Mahkota Ismail turut menyatakan kesediaan baginda membantu sekiranya FAM memerlukan sokongan dalam menangani isu melibatkan pemain warisan terbabit.

"Kalau FAM ingin saya bantu, saya sedia bantu dengan apa cara sekali pun. (Nasib pemain) itu bergantung kepada FIFA, kita tunggu keputusan FIFA dan saya fikir FAM pun mungkin akan bawa kes ini ke CAS."

"Hubungan saya dengan pemain amat rapat, dengan pasukan pun saya rapat termasuk di peringkat antarabangsa dan domestik. Sudah pasti mereka (tujuh pemain warisan) sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku," titah baginda.

Terdahulu, FIFA mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,560) terhadap tujuh pemain warisan termasuk Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas mereka didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Sementara itu, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) berhubung pelanggaran yang sama.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN