fb fb fb fb fb

Disiplin pemain kunci kejayaan JDT benam Brunei DPMM 10-0

Pemaian JDT, Bergson Gustavo Silvera Da Silva (tengah) bersama Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri), meraikan gol ketika menentang Brunei DPMM FC, dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim / BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 26 Oktober -Kemenangan 10-0 Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Brunei DPMM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi bukti kematangan dan disiplin tinggi yang ditunjukkan para pemain.

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz, menyifatkan, kejayaan besar itu tidak datang mudah memandangkan pasukan sedang berdepan jadual perlawanan yang padat.

“Kemenangan adalah satu kemestian. Paling penting, para pemain memahami proses permainan.

Kami perlu beraksi dengan karakter dan intensiti tinggi sepanjang 90 minit. Tahniah kepada para pemain, mereka beraksi dengan sangat baik,” katanya.

Munoz turut menyifatkan kemenangan besar tersebut sebagai suntikan semangat menjelang aksi timbal balik Piala FA yang bakal berlangsung minggu depan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, James McAllister, meluahkan kekecewaan terhadap prestasi anak buahnya yang dianggap tidak konsisten sepanjang perlawanan.

Menurutnya, kekurangan pemain selepas insiden kad merah mengubah tempo permainan pasukan.

“Saya rasa hanya lima atau enam pemain benar-benar memberikan segalanya. Namun kami perlukan sepuluh atau sebelas pemain yang beraksi dengan tahap sama.

Apabila turun ke padang, semua pemain mesti tampil cemerlang dan luar biasa. Hari ini, ia sukar untuk diterima,” katanya.

McAllister bagaimanapun memuji keberanian pemainnya yang tetap memberi tentangan di awal permainan sebelum hilang fokus pada separuh masa kedua.

Perlawanan malam tadi menyaksikan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dan terus kukuh di puncak Liga Super.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN