LONDON, 31 Mei - Pengurus Kieran McKenna menandatangani kontrak lanjutan selama empat tahun bersama pendatang baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) Ipswich Town, kata pengurusan kelab berkenaan pada Khamis.
McKenna dalam satu kenyataan berkata, dia berasa teruja dan gembira untuk terus berada bersama kelab tersebut.
"Saya sangat teruja diberi peluang dan tanggungjawab bagi membawa kelab kembali bersaing di EPL selepas 22 tahun", kata McKenna.
Lanjutan kontrak tersebut merupakan rentetan laporan media yang mengaitkan pengurus berusia 38 tahun itu dengan beberapa kelab gergasi EPL sebelum ini.
McKenna yang berjaya membawa Ipswich ke EPL musim depan telah diintai oleh Manchester United bagi mengisi jawatan pengurus kelab berkenaan menurut sumber laporan media Inggeris. Minat yang sama turut ditunjukkan oleh Chelsea.
McKenna sebelum ini berperanan sebagai pengendali skuad Bawah 18 tahun di dua kelab iaitu Manchester United dan Tottenham Hotspur sebelum menyertai Ipswich Town pada 2021.-Reuters