MUNICH, 31 Mei- Ketua jurulatih Bayern Munich yang baharu, Vincent Kompany menggariskan beberapa corak permainan buat kelab gergasi Bundesliga berkenaan sambil mengharapkan keberanian dan sikap agresif para pemain.
Bekas pertahanan antarabangsa Belgium dan Manchester City itu menandatangani kontrak bersama Bayern Munich sehingga 2027 selepas berpisah dengan Burnley susulan kelab berkenaan diturunkan ke Liga Kejuaraan musim depan.
Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, Kompany memberitahu dia merupakan seorang yang sangat berdisiplin dan mengharapkan perkara yang sama dapat diterapkan kepada para pemain.
"Saya mahukan setiap pemain Bayern bersikap berani dan agresif ketika bermain", kata Kompany.
Pelantikan Kompany sebagai ketua jurulatih baharu Bayern mengakhiri pencarian pengganti kepada pengendali sebelum ini iaitu Thomas Tuchel.
Kompany memulakan karier sebagai jurulatih bersama kelab Belgium, Anderlecht sebelum menyertai Burnley pada 2022 menyaksikan dia mengemudi kelab berkenaan naik ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.-REUTERS