fb fb fb fb fb

Mbappe lebih daripada sekadar penjaring gol - Alonso

Penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe/ AFP

MADRID, 2 Disember – Pengendali Real Madrid, Xabi Alonso menegaskan bahawa Kylian Mbappe memainkan peranan jauh lebih besar berbanding hanya sebagai penjaring gol prolifik, ketika kelab itu berdepan isu konsistensi musim ini.

Penyerang Perancis itu meledak empat gol ketika menentang Olympiacos dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu dan kini mengumpul 23 gol daripada 19 perlawanan dalam semua kejohanan.

Mbappe sebelum ini turut menggesa rakan sepasukan untuk kekal bersatu di tengah-tengah prestasi tidak menentu Los Blancos.

“Dia sangat baik secara individu dan banyak membantu pasukan,” kata Alonso pada sidang media menjelang aksi La Liga menentang Athletic Bilbao pada Rabu.

“Bagi Mbappe, bukan hanya tentang gol walaupun itu penting, tetapi juga kepimpinannya, pengaruhnya dan bagaimana dia membantu rakan sepasukan. Itu sangat penting setiap hari,” kata beliau.

Madrid kini satu mata di belakang pendahulu liga, Barcelona, selepas tiga keputusan seri berturut-turut dalam saingan La Liga, termasuk seri menentang Girona pada Ahad.

Spekulasi media Sepanyol turut menyebut masa depan Alonso di Santiago Bernabeu mungkin terancam jika keputusan tidak bertambah baik.

Jurulatih dari Basque itu mengakui beliau telah berbincang dengan Presiden Real Madrid, Florentino Perez, mengenai usaha memperbaiki prestasi pasukan.

“Perbualan kami sangat positif, dalam nada yang baik, dengan keinginan untuk memperbaiki keputusan. Kami sedar kami kurang konsisten dan mahu bermain lebih baik,” katanya.

Madrid turut kehilangan pertahanan kiri, Ferland Mendy, bagi perlawanan di Bilbao selepas pemain itu disahkan mengalami kecederaan hamstring.

Ia berlaku kurang seminggu selepas beliau kembali beraksi menentang Olympiacos, penampilan pertamanya musim ini selepas pulih daripada kecederaan paha.

Media Sepanyol melaporkan Mendy dijangka terlepas aksi selama kira-kira tiga minggu. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN