SEPANG, 2 Disember - Atlet karate wanita negara, C. Shahmalarani menerima durian runtuh sebanyak RM10,000 daripada Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) sebagai penghargaan atas kejayaannya meraih pingat perak pada Kejohanan Karate Dunia di Kaherah, Mesir, baru-baru ini.
Insentif itu turut menarik perhatian apabila ia ditaja sepenuhnya oleh Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad sebagai tanda pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasa atlet negara.
Atlet berusia 26 tahun itu berkata kejayaan merangkul pingat perak pada penampilan sulungnya di pentas dunia merupakan pengalaman tidak dapat dilupakan, lebih-lebih lagi apabila berjaya melayakkan diri ke final buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun bagi negara.
“Bangga, ini benar-benar detik menggembirakan bagi MAKAF sendiri, dan ia juga merupakan penampilan sulung saya di Kejohanan Dunia. Memang sasaran utama tahun ini adalah Sukan SEA dan kejohanan dunia ini sebenarnya hanya langkah persediaan untuk uji kemahiran saya.
“Tapi tak sangka dapat pergi final. Ia merupakan sejarah untuk legasi dan nama saya,” katanya.
Selain Shahmalarani, Zakiah Adnan dan Lovelly Anne Robberth masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000, manakala ketua jurulatih R.Sharmendran dan Norfarhan Nordin turut menerima RM2,000 dan RM1,000 sebagai penghargaan atas peranan mereka membimbing skuad negara.
Sementara itu, Shahmalarani berkata kepulangannya ke tanah air menjadi lebih bermakna apabila diraikan kontinjen dan diberikan insentif khas daripada Presiden MAKAF.
“Penghargaan amat penting kepada atlet sebab segala usaha dan pengorbanan kami di belakang tabir tak selalu dilihat ramai. Pingat itu sahaja yang orang nampak.
“Jadi penghargaan macam ini beri motivasi untuk kami teruskan usaha, tambah lebih kerja keras, lagi-lagi dengan Sukan SEA yang kurang 10 hari saja lagi. Ia satu suntikan semangat untuk kami,” katanya.
Shahmalarani yang kini dalam misi mempertahankan pingat emas acara kumite bawah 50 kilogram (kg) buat kali ketiga berturut-turut pada Sukan SEA 2025 di Thailand yang membuka tirai 9 Disember ini.