fb fb fb fb fb

Hoki Piala Dunia Remaja 2025: Malaysia tewas 1-3 kepada England

Foto FB Malaysian Hockey Confederation

MADURAI, 2 Disember - Hasrat skuad hoki remaja negara, Young Tigers, untuk menamatkan saingan Kumpulan E di tempat kedua berakhir hampa.

Dalam aksi terakhir kumpulan sebentar tadi, Malaysia tewas 1-3 kepada England.

England bermula garang apabila hanya mengambil empat minit untuk membuka jaringan.

Henri Markham menyempurnakan pukulan sudut penalti, menewaskan penjaga gol negara, Haziq Muizzuddin.

Perlawanan bertambah sukar buat Malaysia apabila Michael Royden menggandakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi satu gol padang hasil gerakan pantas di dalam kotak D.

Malaysia yang kembali agresif di separuh masa kedua akhirnya merapatkan jurang pada minit ke-47.

Azimuddin Kamaruddin tenang menyudahkan pukulan sudut penalti, memberikan nafas baharu kepada Young Tigers. Namun kebangkitan itu tidak bertahan lama.

England memastikan kemenangan mutlak selepas Alex Chihota menjaringkan gol padang sekali gus mengukuhkan kedudukan 3-1 sehingga tamat permainan.

Mengikut format kejohanan, hanya juara kumpulan dan dua naib juara terbaik daripada enam kumpulan mara ke suku akhir.

Kekalahan ini bermakna baik Malaysia mahupun England gagal tersenarai sebagai naib juara kumpulan terbaik.

Slot tersebut menjadi milik New Zealand dan Belgium yang masing-masing mencatat keputusan lebih baik dalam kiraan perbezaan gol.

Malaysia kini akan meneruskan saingan dalam kelompok klasifikasi bagi menentukan kedudukan tempat ke-9 hingga 16 keseluruhan.

ROSLINA BINTI DIN