PARIS, 4 April - Jaringan tunggal bintang sensasi, Kaylian Mbappe berjaya memastikan kelab Paris Saint Germain (PSG) menang ke atas Stade Rennais 1-0 pada perlawanan separuh akhir Piala Perancis.
Kejayaan itu sekali gus berjaya membawa PSG ke final bagi menghampiri kejuaraan trofi kelab buat kali ke-15.
Pada perlawanan berkenaan, PSG dilihat lebih mendominasi permainan pada minit-minit awal permainan.
Namun ketangkasan dan kecekapan penjaga gol Stade Rennais, Steve Mandanda berjaya menafikan sepakan penalti yang diperolehi PSG menerusi Mbappe pada minit ke-37.
Bagaimanapun kekebalan Mandanda akhirnya roboh pada minit ke-40 apabila Mbappe berjaya menjaringkan gol buat PSG.
Jaringan tersebut merupakan jaringan kelapan buat pemain berusia 25 tahun itu dalam kejohanan Piala Perancis musim ini.
Bersambung babak kedua, Stade rennais dilihat terdesak dalam usaha mencari gol penyamaan dan hampir-hampir dihukum dengan gol kedua PSG yang berjaya dinafikan oleh Mandanda sekali lagi.
Pada final Piala Perancis itu nanti, PSG bakal bertemu dengan Olympique Lyonnais selepas pasukan berkenaan menewaskan Valenciennes FC 3-0 pada satu lagi perlawanan separuh akhir.-REUTERS