LONDON, 3 November - Southampton memecat pengurusnya, Will Still, pada Ahad selepas hanya 16 perlawanan mengendalikan pasukan yang kini berada hampir dengan zon penyingkiran Liga Kejuaraan England.
Jurulatih berusia 33 tahun itu dilantik pada Mei lalu selepas menunjukkan prestasi memberangsangkan ketika mengendalikan kelab Reims dan Lens di Perancis.
Namun, Still hanya meraih dua kemenangan daripada 13 perlawanan liga di Stadium St. Mary’s, meninggalkan Southampton di tangga ke-21, tiga mata di atas zon penyingkiran.
“Will seorang yang berperibadi baik dan telah memberikan sepenuh usaha untuk memperbaiki prestasi pasukan,” kata Pengarah Teknikal Southampton, Johannes Spors.
“Namun proses itu mengambil masa lebih lama daripada jangkaan kami. Dengan perubahan ini, kami percaya peluang untuk bangkit semula musim ini lebih cerah.”
Kekalahan 0-2 kepada Preston pada Sabtu memburukkan lagi kekecewaan penyokong, yang turut mendesak pemilik kelab, Sport Republic, supaya melepaskan pegangan mereka terhadap Southampton.-AFP