LA PLATA, 3 November- Boca Juniors berjaya mencuri kemenangan 2-1 di tempat lawan menentang Estudiantes de la Plata dalam Divisyen Primera Argentina pada Ahad, menerusi jaringan penalti pada minit ke-97.
Setelah gagal menyempurnakan penalti pada separuh masa pertama, Exequiel Zeballos menebus kesilapannya dengan rembatan padu ke penjuru gol untuk memberikan Boca pendahuluan empat minit selepas perlawanan disambung semula.
Estudiantes menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi sepakan penalti yang disempurnakan dengan tenang oleh Edwuin Cetre.
Pasukan tuan rumah kemudian bermain dengan 10 orang pemain dua minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat.
Ini selepas Gabriel Neves dilayangkan kad merah terus kerana melakukan cabaran berbahaya ke atas Ander Herrera.
Bekas pemain tengah Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG) itu kemudian memenangi sepakan penalti lewat untuk Boca.
Miguel Menrentiel mengambil tanggungjawab menyempurnakannya, sekali gus membawa pulang ketiga-tiga mata ke ibu negara Argentina.
Keputusan tersebut menyaksikan Boca mengumpul 23 mata, mengatasi Union de Santa Fe di puncak Kumpulan A melalui perbezaan gol.
Sementara itu, Estudiantes kekal di tempat kelima dengan ketinggalan dua mata. -REUTERS