MANCHESTER, 4 April- Jaringan hatrik bintang muda, Phil Foden membolehkan Manchester City menumpaskan Aston Villa 4-1 pada Rabu sekali gus menyalakan semula harapan pasukan berkenaan bagi mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang dimenangi musim lepas.
"Secara jujurnya, saya menyukai apa yang sedang saya lakukan di kelab ini.
"Saya bermain dengan yakin,girang dan hanya mencuba untuk menolong pasukan.
"Saya tahu saya berkemampuan bagi menjaringkan gol. Hari ini, saya telah menunjukkannya dan saya teruja sekali", kata Foden kepada TNT Sports.
Kemenangan itu turut merupakan kemenangan kali pertama Manchester City terhadap pasukan yang berada dalam kelompok lima teratas musim ini.
"Kami agak bergelut musim ini ketika menentang pasukan yang berada dalam kelompok lima terbaik.
"Kami berjaya melakukannya pada pertemuan menentang Aston Villa.
"Ini bukan sesuatu yang mudah, tapi kami berjaya lakukannya", kata Rodri kepada TNT Sports.
Pada perlawanan berkenaan, pasukan City dilihat mendominasi perlawanan sebelum membuka jaringan pertama menerusi Rodri pada minit ke-11 selepas mendapat umpanan lintang Jeremy Doku.
Tidak patah semangat, Villa kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Jhon Duran pada minit ke-20.
Manchester City berjaya melebarkan kedudukan 2-1 hasi jaringan Phill Foden pada minit-minit akhir separuh masa pertama.
Bersambung ke babak kedua, Manchester City dihat meneruskan penguasaan permainan dan berjaya menambah gol ketiga menerusi Foden yang merembat kencang hasil hantaran Rodri pada minit ke- 63.
Jaringan itu juga merupakan jaringan ke-21 buat Foden pada semua pertandingan musim ini.
Sementara itu, Aston Villa kendalian pengurus berbangsa Sepanyol, Unai Emery kekal di tangga keempat liga dengan memunggut 59 mata dan masih berpeluang melayakkan diri bagi bermain di Liga Juara-Juara musim depan.
"Kami bermain sebagai satu pasukan, namun jaringan pertama mereka benar-benar membuatkan kami kucar-kacir", kata Unai Emry.
"Manchester City benar-benar menunjukkan kehebatan mereka. Mereka jauh lebih baik daripada kami", kata Emry.
Kemenangan terbaharu ke atas Aston Villa meletakkan Manchester City di tangga ketiga liga dengan 67 mata di belakang pendahulu, Arsenal dan Liverpool-REUTERS