fb fb fb fb fb

Harimau Malaya B-15 sedia galas cabaran di Melbourne

Foto FAM

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Seramai 18 pemain muda negara telah dipilih oleh ketua jurulatih B-15 kebangsaan, Noor Zaidi Rohmat untuk menyertai skuad Harimau Malaya B-15 dalam Kejohanan Emerging Socceroos 2025 yang akan berlangsung di Home of Matildas, Melbourne, Australia.

Skuad negara sebelum ini telah menjalani latihan pusat selama dua minggu bermula 21 Jun hingga 3 Julai 2025 di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang, dan dijadualkan berlepas ke Melbourne pada Jumaat.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan, skuad Harimau Malaya B-15 telah diundi dalam Kumpulan D bersama pasukan Victoria White, Queensland Maroon dan Capital Football, dalam kejohanan yang disertai 16 pasukan keseluruhan dibahagikan kepada empat kumpulan.

“Victoria White akan menjadi lawan pertama Harimau Malaya B-15 pada Ahad, 6 Julai, diikuti perlawanan menentang Capital Football pada Isnin, 7 Julai dan Queensland Maroon pada Selasa, 8 Julai 2025,” jelas FAM menerusi kenyataan.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan melangkah ke peringkat suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada Rabu, 9 Julai.

Sementara itu, pasukan di tangga ketiga dan keempat akan meneruskan saingan dalam perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16.

Separuh akhir akan berlangsung pada Khamis, 10 Julai manakala perlawanan akhir bakal berlangsung pada Jumaat, 11 Julai 2025.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN