fb fb fb fb fb

Pogacar bersiap buru gelaran keempat Tour de France

Tadej Pogacar / Foto Reuters

VALENCIENNES, 3 Julai - Juara bertahan Tadej Pogacar bakal memulakan misi memburu gelaran keempat Tour de France, Sabtu ini dalam usaha mengukuhkan statusnya sebagai antara pelumba terbaik dunia.

Pelumba Slovenia berusia 26 tahun itu menyasarkan untuk menyertai Chris Froome sebagai pemenang empat kali, seterusnya menghampiri rekod lima gelaran milik legenda seperti Hinault, Anquetil, Merckx dan Indurain.

Pogacar tampil cemerlang musim ini dengan kemenangan dalam Tour of Flanders, Liege-Bastogne-Liege, serta podium di Milan-Sanremo dan Paris-Roubaix.

Beliau turut menjuarai tiga peringkat Criterium du Dauphine dan muncul juara keseluruhan.

Namun, beliau menunjukkan kelemahan dalam ujian masa sejauh 17.4km di Dauphine, ketinggalan 48 saat di belakang Remco Evenepoel dan 28 saat di belakang Jonas Vingegaard.

Vingegaard, juara Tour 2022 dan 2023, kembali cergas selepas pulih daripada kecederaan dan menamatkan saingan Dauphine di tempat kedua.

Beliau akan disokong pasukan mantap Visma-Lease a Bike termasuk Simon Yates, Sepp Kuss, Matteo Jorgenson dan Wout van Aert.

Evenepoel pula menang Brabantse Pijl sebelum menamatkan Dauphine di tempat keempat, manakala Florian Lipowitz dari Jerman muncul sebagai pencabar baharu selepas prestasi konsisten di Paris-Nice dan Dauphine.

Tour de France 2025 meliputi laluan sejauh 3,338.8km dengan 52,500 meter pendakian merentasi 21 peringkat, menjanjikan ujian sebenar kepada pelumba terbaik dunia.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN