KUALA LUMPUR, 3 Julai – Skuad Harimau Malaya bakal berdepan cabaran getir apabila diundi dalam Kumpulan B bersama pasukan ranking ke-18 dunia, Iran pada Kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang akan berlangsung Ogos ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan, selain Iran, skuad bimbingan Peter Cklamovski yang kini menduduki ranking ke-131 dunia turut diundi bersama tuan rumah Tajikistan (ranking ke-104) dan Afghanistan (ranking ke-160).
"Malaysia akan memulakan kempen menentang Tajikistan pada 29 Ogos, disusuli perlawanan menentang Iran pada 1 September dan Afghanistan pada 4 September. Ketiga-tiga aksi kumpulan akan berlangsung di Dushanbe, ibu negara Tajikistan," menurut FAM menerusi kenyataan.
Sementara itu, Kumpulan A pula dijadual berlangsung di Tashkent, Uzbekistan, yang menghimpunkan empat pasukan lain iaitu tuan rumah Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Oman.
Hanya juara setiap kumpulan akan layak ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 8 September di Tashkent, manakala naib juara kumpulan akan bersaing bagi penentuan tempat ketiga di Dushanbe pada tarikh yang sama.
Selepas kejohanan CAFA, skuad negara akan meneruskan baki saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 dengan menentang Laos di Vientiane (9 Oktober) dan di laman sendiri (14 Oktober), sebelum berkunjung ke Kathmandu bertemu Nepal (18 November), serta aksi terakhir menentang Vietnam di tempat lawan pada Mac tahun depan.