fb fb fb fb fb

FPF berduka atas pemergian Diogo Jota

Diogo Jota / Foto Reuters

BERN, 3 Julai - Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF), Pedro Proenca menyatakan rasa dukacita dan sedih atas pemergian penyerang kebangsaan, Diogo Jota, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol awal pagi Khamis.

Jota, 28, yang juga bintang kelab Liverpool, disahkan meninggal dunia bersama adiknya, Andre, selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dan terbakar berhampiran Palacios de Sanabria, barat laut Sepanyol.

“Kami semua sedang berkabung – Persekutuan Bola Sepak, generasi pemain ini,” ujar Proenca kepada media di Bern, Switzerland, di mana pasukan kebangsaan wanita Portugal dijadual menentang Sepanyol pada hari yang sama.

Pemergian Jota dianggap satu kehilangan besar buat bola sepak Portugal, yang turut meratapi pemergian seorang pemain penting dan berbakat dalam era bola sepak moden negara itu.

Sementara itu, para penyokong Liverpool FC turut meluahkan rasa sedih atas kehilangan pemain kesayangan mereka.

Di luar Stadium Anfield, penyokong mula berkumpul dan meletakkan jersi serta bunga sebagai tanda penghormatan.

“Bola sepak ini seperti satu keluarga… rasa seolah-olah kita mengenalinya,” kata seorang penyokong dikenali sebagai Brian, yang menyifatkan usia muda Jota dan keadaannya sebagai suami serta bapa kepada tiga anak menjadikan berita itu amat memilukan.

Seorang lagi penyokong turut mengenang legasi ditinggalkan Jota, sambil cuba mengingati jaringan terakhirnya. “Kenangan ini akan kekal selama-lamanya,” katanya.

Kematian Jota bukan sahaja satu kehilangan besar buat Liverpool dan Portugal, malah untuk seluruh dunia bola sepak yang mengagumi bakat, etika kerja dan semangat juangnya di atas padang.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN