MEXICO CITY, 4 Julai – Kapten Wales, Aaron Ramsey, kini menyertai kelab Mexico, Pumas UNAM, sebagai ejen bebas selepas dua tahun bersama kelab zaman kanak-kanaknya, Cardiff City, umum kelab Liga MX itu pada Khamis.
Bekas tonggak tengah Arsenal dan Juventus itu menandatangani kontrak selama setahun dengan Pumas.
Sebelum ini, Ramsey pernah menjadi pengurus sementara Cardiff sebelum kelab itu tersingkir ke Liga pertama pada April.
“Saya sangat teruja. Ini masa yang sesuai dalam kerjaya saya untuk bergerak ke hadapan. Saya tahu apa yang diharapkan oleh kelab ini dan saya akan beri yang terbaik,” kata Ramsey, 34, ketika diperkenalkan.
“Saya gembira untuk hadapi cabaran baharu ini dan dikelilingi pemain berkualiti.”
Ramsey berkongsi ejen yang sama dengan ketua jurulatih Pumas, Efrain Juarez.
Dia juga menyatakan hasrat untuk terus bersaing di tahap tertinggi dan mahu memainkan peranan penting bersama skuad kebangsaan Wales pada Piala Dunia 2026.
“Saya ada banyak pengalaman dalam bola sepak, dan itu membantu saya untuk menyumbang dengan lebih baik,” tambahnya.
“Saya mahu bantu kelab capai matlamat musim ini. Banyak perkara yang menarik bakal berlaku dan saya tidak sabar menantikannya", ujarnya.
Pumas dijadual bertemu kelab Sepanyol, Leganes dalam aksi persahabatan pada Ahad, sebelum memulakan kempen Apertura menentang Santos Laguna pada 12 Julai.
Ramsey juga dijangka menyertai pasukan dalam saingan Piala Juara-Juara CONCACAF akan datang.-REUTERS