fb fb fb fb fb

Tenis Terbuka Wimbledon: Djokovic mara ke pusingan ketiga

Bintang tenis Serbia, Novak Djokovic / Foto REUTERS

LONDON, 4 Julai- Novak Djokovic kembali mempamerkan prestasi luar biasa apabila mara ke pusingan ketiga terbuka Wimbledon selepas menumpaskan pemain tuan rumah, Dan Evans.

Juara tujuh kali Wimbledon itu menang mudah 6-3, 6-2, 6-0.

Pemain berusia 38 tahun itu kini dalam misi menyamai rekod Roger Federer dengan gelaran kelapan Wimbledon dan Grand Slam ke-25.

"Segalanya berjalan lancar. Saya tahu apa yang perlu dibuat dan saya berjaya laksanakannya dengan sempurna," katanya selepas meraih kemenangan ke-99 di Wimbledon sejak penampilan pertama di Wimbeldon pada 2005.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner dari Itali, terus memgukuhkan status pilihan utama kejohanan selepas menewaskan Aleksandar Vukic dari Australia 6-1, 6-1, 6-3.

Pemain muda Czech, Jakub Mensik, yang juga pilihan ke-15 kejohanan, turut mara selepas menewaskan Marcos Giron 6-4, 3-6, 6-4, 7-6(4).

Manakala Grigor Dimitrov (Bulgaria), yang kini bermain dalam Grand Slam ke-59 berturut-turut, menundukkan Corentin Moutet 7-5, 4-6, 7-5, 7-5.

Namun begitu, masib malang menimpa harapan utama Britain, apabila Jack Draper (pilihan ke-4), tewas 6-4, 6-3, 1-6, 6-4 kepada bekas finalis Marin Cilic.

Sementara itu dalam kategori wanita, juara bertahan Barbora Krejcikova meneruskan langkah selepas menang 6-4, 3-6, 6-2 ke atas Caroline Dolehide.

Lawan seterusnya ialah pemain Amerika, Emma Navarro (pilihan ke-10), yang mudah menundukkan Veronika Kudermetova 6-1, 6-2.

Iga Swiatek pula bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Caty McNally 5-7, 6-2, 6-1.

Pemain muda Rusia, Mirra Andreeva juga mara selepas menewaskan Lucia Bronzetti 6-1, 7-6(4).-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD