KUALA LUMPUR, 3 Julai – Kejohanan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2025 mencipta sejarah apabila menerima penyertaan tertinggi sejak diperkenalkan, dengan 63 pasukan bakal berentap dalam edisi kali ini yang dijadual berlangsung dari 7 Julai hingga 23 Ogos 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Anil Jeet Singh Sandhu berkata jumlah itu merupakan peningkatan ketara berbanding 49 pasukan pada edisi lalu, sekali gus mencerminkan perkembangan positif sukan hoki di peringkat akar umbi.
“Antara faktor utama peningkatan ini termasuk minat yang semakin bertambah dalam kalangan ibu bapa dan pemain muda. Selain itu, program pembangunan yang giat dijalankan di negeri-negeri turut memainkan peranan penting dalam mencungkil bakat baharu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KHM, di sini hari ini.
Tambah beliau, lonjakan penyertaan itu menjadi bukti komitmen negeri-negeri dalam membangunkan bakat muda, di samping membuka lebih banyak ruang kepada pemain muda untuk bersaing di pentas kompetitif.
“Ini satu perkembangan yang sangat baik untuk masa depan hoki negara. Kita dapat melihat lebih banyak pemain muda beraksi dan berpeluang menyerlah,” ujarnya.
Sebanyak 213 perlawanan dijangka berlangsung sepanjang kejohanan tahun ini.
Bagi Divisyen 1 (Lelaki), sebanyak 10 pasukan akan bersaing memburu kejuaraan yang dijadual bermula 19 Julai, dengan aksi berlangsung di tujuh lokasi termasuk Stadium Hoki Batu Buruk, Terengganu dan Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan.
Sementara itu, 30 pasukan Lelaki Divisyen 2 akan dibahagikan kepada dua zon – Zon Tengah (Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil) dan Zon Utara (Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang) – dengan perlawanan bermula pada 23 Julai.
Kategori wanita pula menyaksikan penyertaan 23 pasukan, dengan semua aksi dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, bermula Isnin depan (7 Julai).