KUALA LUMPUR, 3 Julai – Festival gaya hidup automotif terbesar negara, Art of Speed Malaysia 2025 (AOS 2025) kembali untuk edisi ke-14 dengan tema “Kustom Ada Gaya”, menjanjikan pengalaman lebih segar, penuh karisma dan bertaraf antarabangsa kepada peminat budaya kustom dari dalam dan luar negara.
Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar berkata AOS bukan sekadar pameran automotif biasa, tetapi merupakan satu platform gaya hidup yang menyatukan elemen kenderaan, seni, muzik dan komuniti dalam satu persembahan menyeluruh.
“Yang istimewanya Art of Speed ini ialah pengisiannya. Ia adalah sebuah persembahan, bukan sekadar pameran. Dengan penyertaan rakan strategik dari dalam dan luar negara serta jenama antarabangsa, AOS kekal relevan saban tahun dan terus menjadi tarikan utama kepada pengunjung,” katanya kepada pemberita, di sini.
Acara tahunan itu dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Julai 2025 bertempat di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), merangkumi ruang pameran dalaman seluas 452,084 kaki persegi dan kawasan luar seluas 320 ekar, dengan pelbagai aktiviti padat dari jam 10 pagi hingga 7 malam sepanjang hujung minggu.
Antara tetamu antarabangsa yang bakal hadir ialah Shige Suganuma dan Hiro “Wildman” Ishii dari MOONEYES Jepun, Brendon Vetuskey – pereka produk Hot Wheels dari Amerika Syarikat, serta beberapa nama besar lain dalam arena kustom global.
Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar
Tahun ini, AOS memperkenalkan segmen baharu World of Wheels (WOW) anjuran MotorTakaful.com, yang menampilkan pameran Show & Shine di Hall A untuk kenderaan bergaya, lengkap dengan studio fotografi profesional berkonsepkan sistem truss.
Perarakan kelab kereta turut dijadualkan berlangsung di boulevard utama MAEPS sepanjang dua hari acara.
Hall C pula akan menjadi tumpuan utama bagi edisi ketiga Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) yang merangkumi pameran, jual beli serta pertandingan Hot Wheels. Sorotan kali ini ialah pengenalan model kereta edisi konvensyen “kiri & kanan” yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Peminat Hot Wheels turut berpeluang bertemu sendiri dengan Brendon Vetuskey dan menyertai majlis makan malam rasmi HWCCM yang akan diadakan di BoraOmbak Marina, Putrajaya.
AOS 2025 juga menampilkan Project Car Invitational Showcase, hasil kurasi bersama NoEqual.co, yang mempamerkan pilihan kereta ubah suai dari genre tempatan, Jepun dan Eropah.
Sementara itu, ThunderCircus Brotherhood Rally diteruskan sebagai platform pertemuan penunggang motosikal dari seluruh negara, manakala Roda Rumble 2025 pula membawakan elemen festival luar kepada peminat kenderaan dua roda.
Satu lagi tarikan baharu ialah Pasport Pelawat AOS, iaitu aktiviti interaktif di mana pengunjung boleh mengumpul cop dari booth jenama terpilih dan berpeluang memenangi hadiah menarik seperti tiket ke Jepun, Indonesia dan Thailand melalui cabutan bertuah Wheel of Speed.