fb fb fb fb fb

Bintang Liverpool Diogo Jota maut dalam kemalangan ngeri di Sepanyol

Diogo Jota / Foto Reuters

MADRID, 3 Julai – Dunia bola sepak dikejutkan dengan berita kematian tragis penyerang Liverpool dan Portugal, Diogo Jota yang maut dalam satu kemalangan jalan raya di Zamora, barat laut Sepanyol awal pagi Khamis.

Jota, 28, disahkan meninggal dunia bersama adiknya, Andre Felipe, 26, selepas kenderaan jenis Lamborghini yang dinaiki mereka terbabas dan terbakar di Lebuh Raya A-52, berhampiran Palacios de Sanabria, sekitar pukul 12.04 pagi waktu tempatan.

Menurut laporan media tempatan yang memetik kenyataan Guardia Civil Sepanyol, kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar kenderaan meletup ketika mereka cuba memotong sebuah kenderaan lain, sebelum hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan.

Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap dalam kenderaan yang kemudiannya terbakar. Mereka disahkan maut di tempat kejadian.

Pihak polis telah membuka siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.

Diogo Jota, atau nama penuhnya Diogo José Teixeira da Silva, baru sahaja mewakili Portugal dalam kejohanan UEFA Nations League bulan lalu, di mana beliau membantu pasukannya menjulang trofi selepas menewaskan Sepanyol melalui penentuan penalti.

Beliau turut dijadualkan menyertai skuad Liverpool dalam siri pramusim menentang AC Milan di Hong Kong pada 26 Julai ini.

Jota menyertai Liverpool dari Wolverhampton Wanderers pada tahun 2020 dengan nilai perpindahan mencecah £41 juta.

Sepanjang empat musim di Anfield, beliau menjaringkan lebih 40 gol dalam 123 penampilan dan menjadi tonggak utama dalam kejayaan kelab itu di peringkat domestik dan Eropah.

Berita pemergian Jota hadir hanya beberapa hari selepas beliau meraikan majlis perkahwinan dengan pasangan lamanya, Rute Cardoso. Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata.

Liverpool FC dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat berhubung tragedi itu.

Ribuan penyokong, rakan sepasukan dan pemain bola sepak dari seluruh dunia mula membanjiri media sosial dengan ucapan takziah dan penghormatan terhadap sumbangan Jota dalam arena bola sepak.

Kematian Diogo Jota merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja buat Liverpool dan Portugal, malah seluruh dunia bola sepak yang mengagumi bakat, etika kerja dan semangat juangnya di atas padang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN