SENDAYAN, 3 Julai – Pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi baharu Negeri Sembilan FC (NSFC) dilihat menjadi pemangkin utama kepada kemasukan beberapa nama besar ke dalam skuad Rusa musim ini, termasuk ketua jurulatih Mohd Nidzam Jamil dan penyerang kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus berkata kehadiran Aminuddin dalam struktur pengurusan pasukan memberikan keyakinan terhadap kestabilan kelab dan menarik minat ramai pihak untuk menyertai projek pembangunan semula NSFC.
“Bila kehadiran Datuk Seri Aminuddin, itu memberikan keyakinan kepada pemain untuk stabilkan pasukan… sebab kalau pasaran bola sepak kita tak stabil, susah hendak tarik pemain,” katanya kepada pemberita sempena perlawanan persahabatan antara Team Media FC dan Pak Yus FC di IRC Arena, di sini.
Selain Luqman dan Nidzam, beberapa pemain berprofil tinggi seperti Khuzaimi Piee dan Azri Ghani turut menyertai pasukan hasil rundingan yang telah lama dirancang.
Faliq turut mendedahkan beliau mengadakan perbualan secara terus dengan Luqman bagi memberi jaminan terhadap peranan yang bakal digalas serta hala tuju kelab musim ini.
“Luqman membawa pengalaman profesional dari Eropah dan Jepun, dan dijangka memberi impak positif dalam membentuk mentaliti serta disiplin pemain muda NSFC,” katanya.
Tambahnya, NSFC dan jurulatih Nidzam Jamil telah sepakat bahawa semua pemain termasuk pemain kebangsaan akan memikul tanggungjawab sama dalam pasukan.
Musim ini menyaksikan NSFC tampil dengan struktur pemain lebih muda apabila purata umur berada di bawah 25 tahun.
Hanya tiga pemain berusia lebih 30 tahun – Khuzaimi, Hadin Azman dan seorang lagi yang belum diumumkan – bakal bertindak sebagai tonggak kepimpinan dalam bilik persalinan.
Mengulas lanjut, Faliq menjelaskan sasaran pasukan telah diperjelaskan kepada semua pemain dalam sesi taklimat awal.
Katanya, pihak pengurusan akan menguruskan ekspektasi secara realistik agar pemain kekal fokus terhadap prestasi di padang.
“Dengan NSFC menamatkan musim lalu di tangga kedua tercorot Liga Super, ini menjadi cabaran terbaik buat pemain seperti Luqman untuk membuktikan nilai sebenar mereka,” jelasnya.