MANCHESTER, 3 November - Erling Haaland kembali membuktikan ketajamannya apabila menjaringkan dua gol untuk membantu Manchester City menewaskan Bournemouth 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sekali gus melonjak ke tangga kedua liga.
Bournemouth yang hadir dengan rekod tanpa kalah terpanjang musim ini bermula garang, namun gagal mengekang kehebatan penyerang Norway itu yang kini mengumpul 13 gol dalam 10 perlawanan liga.
Haaland membuka jaringan pada minit ke-17 selepas menerima hantaran Rayan Cherki, sebelum pelawat menyamakan kedudukan lapan minit kemudian menerusi Tyler Adams. Namun, Haaland sekali lagi meletakkan City di depan sebelum rehat dengan penyudah tenang hasil lorongan Cherki.
Gol itu menjadikan Haaland hanya pemain ketiga dalam sejarah yang menjaringkan dua gol atau lebih dalam empat perlawanan berturut-turut di laman sendiri, selepas Luis Suarez dan Robbie Fowler.
Nico O’Riley menambah gol ketiga City di babak kedua hasil gerakan cantik bersama Phil Foden untuk memastikan tiga mata berharga milik skuad kendalian Pep Guardiola itu.
Guardiola memuji disiplin dan prestasi pasukannya, sambil menyifatkan kemenangan ini penting bagi mengekalkan tekanan terhadap pendahulu liga, Arsenal. City kini hanya enam mata di belakang Gunners dan satu mata di depan Liverpool.-AFP