fb fb fb fb fb

Barca tewaskan Elche, bangkit selepas kekalahan El Clasico

FOTO AFP

BARCELONA, 3 November - Barcelona kembali ke landasan kemenangan apabila menewaskan Elche 3-1 dalam saingan La Liga, awal pagi tadi, sekali gus menebus kekalahan minggu lalu kepada Real Madrid dalam aksi El Clasico.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Lamine Yamal, Ferran Torres dan Marcus Rashford, membantu skuad kendalian Hansi Flick naik semula ke tangga kedua liga, lima mata di belakang pendahulu, Real Madrid.

Barcelona memulakan aksi dengan cemerlang apabila Yamal membuka jaringan pada minit kesembilan hasil hantaran Alejandro Balde, sebelum Torres menggandakan kedudukan tiga minit kemudian melalui hantaran lintang Fermin Lopez.

Namun, Elche bangkit sebelum separuh masa pertama berakhir apabila Rafa Mir merapatkan jurang selepas menewaskan pertahanan Barca, sebelum percubaannya sekali lagi terkena palang pada awal babak kedua.

Rashford memastikan kemenangan Barcelona pada minit ke-72 selepas menyempurnakan hantaran Lopez dengan tenang untuk menjaringkan gol keduanya dalam saingan liga musim ini.

Walaupun masih bergelut dengan krisis kecederaan dan gagal mencatat ‘clean sheet’ dalam enam perlawanan liga berturut-turut, kemenangan tersebut memberi kelegaan kepada Flick dan skuad Blaugrana menjelang aksi seterusnya di peringkat Eropah.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE