fb fb fb fb fb

Maybank terus ungguli tangga teratas TNB-MHL 2023

KUALA TERENGGANU, 16 Februari- Maybank terus mengungguli tangga teratas Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) 2023 pada perlawanan keempat apabila berjaya mengikat kedudukan dua sama ketika menentang juara Piala Sumbangsih 2023, Terengganu Hockey Team (THT) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini petang tadi.

Keputusan tersebut diperolehi Maybank apabila pemain kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim, meledakkan gol kedua penyamaan di saat-saat akhir permainan.

Ia sekaligus menghampakan pasukan tuan rumah untuk berkongsi satu mata dan kekal di tangga kedua liga.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat sembilan mata hasil tiga perlawanan dan Maybank berada di tangga teratas liga dengan kelebihan jaringan.

Bermain dalam keadaan hujan, tuan rumah dilihat terlebih dahulu mengasak dan memiliki beberapa peluang untuk menjarikan gol di awal permainan.

Pada minit ke-17, gerakan pantas pemain kebangsaan Muhammad Marhan Mohd Jalil melakukan hantaran cantik yang melepasi jangkauan penjaga gol kedua lawan, Muhammad Aidil Md Shah, berjaya dimanfaatkan oleh Faizal Saari untuk mencetak gol pertama THT.

Gol penyamaan Maybank hadir menerusi gerakan pukulan sudut penalti pertama, oleh Muhammad Izham Azhar yang berjaya menembusi kekebalan penjaga gawang THT, Muhammad Hafizuddin Othman.

(Pemain THT, Faizal Saari (kanan) diasak oleh pemain Maybank, Muhammad Razie Abd
Rahim pada aksi di Stadium Hoki MBKT petang tadi / Foto BERNAMA)

Sementara itu, gol kedua THT diperoleh pada minit ke-54, menerusi pukulan kencang Fitri Saari, melepasi jangkauan penjaga gol utama Maybank, Muhamad Zaimi Mat Deris.

Sebelum itu penjaga gol kebangsaan berkenaan cemerlang menangkis dan menafikan beberapa percubaan berbahaya barisan serangan THT.

Namun pasukan Maybank yang hanya sekali sekala memperolehi pukulan sudut penalti akhirnya berjaya mendapat pukulan sudut penalti ketika masa berbaki 20 saat sebelum tamat perlawanan.

Bagaimanapun, pukulan tersebut dihentikan sementara apabila keadaan hujan lebat.

Babak perlawanan bersambung selepas 14 minit dan peluang pukulan sudut penalti yang ditunggu-tunggu berbaloi dengan jaringan oleh Muhammad Razie.

Kedudukan jaringan gol tersebut kekal sehingga hon penamat dibunyikan untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata selepas terikat dengan jaringan dua gol sama.

Media Baharu