fb fb fb fb fb

Manshahar mahu kembalikan kegemilangan olahraga negara

Fokus utama skuad olahraga kebangsaan kini adalah temasya Sukan SEA 2025 di Thailand Disember ini - Foto Olahraga Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil kini memberi fokus latihan bagi persediaan temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya sedang mendapatkan maklum balas daripada semua jurulatih mengenai perancangan mereka buat atlet-atlet negara.

1607 SKN HEAD COACH OLAHRAGA 1Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil - Foto Olahraga Malaysia

"Sudah pasti fokus saya adalah Sukan SEA. Pertamanya saya perlu dapatkan maklum balas daripada jurulatih-jurulatih mengenai perancangan dalam masa terdekat lima bulan ini.

"Daripada situ baharu saya boleh buat satu pelan strategik untuk latihan yang lebih baik. Ini sama ada berlatih dan bertanding di beberapa peringkat mungkin dalam dan luar negara selain menentukan hala tuju pencapaian dan prestasi atlet di Sukan SEA 2025 nanti," katanya dalam satu video yang dikongsikan di laman Facebook Olahraga Malaysia (MA).

Beliau berkata, bersama enam jurulatih lain pihaknya akan merangka pelan yang lebih realistik dan berfokus dengan sasaran utama adalah memastikan prestasi atlet berada pada tahap terbaik menjelang temasya itu Disember ini.

1607 SKN HEAD COACH OLAHRAGA 2Antara atlet negara yang menyertai  Kejohanan Olahraga Super Series di ibu negara Mei lalu - Foto Olahraga Malaysia

Sementara itu, Manshahar yang baharu dilantik semula sebagai ketua jurulatih olahraga kebangsaan, bersyukur masih diberi peluang untuk membantu skuad negara.

Beliau berhasrat mengembalikan kegemilangan olahraga negara diperingkat Asia Tenggara, Asia dan juga dunia.

"Jadi bagaimana caranya..itulah proses-proses ke arah itu yang saya sedang berikan tumpuan supaya kita kembali bangga dengan olahraga ini sebagai satu sukan yang terbaik di negara kita," katanya.

1607 SKN HEAD COACH OLAHRAGA 3Pihak kejurulatihan olahraga negara akan merangka pelan yang lebih realistik dan berfokus buat atlet negara - Foto Olahraga Malaysia

Selain Manshahar, skuad olahraga kebangsaan akan dibimbing enam jurulatih baharu yang dilantik berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Mereka adalah Muhammad Hakimi Ismail bagi disiplin lompatan, Lo Choon Sieng (disiplin jalan kaki), Tan Song Hwa (disiplin balingan), V. Krishnan (disiplin jarak sederhana & jauh), Hisham Muztaza Ibrahim (disiplin larian berpagar) dan Mohd Nizam Md Yusof bagi disiplin larian pecut.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK