KUALA LUMPUR, 16 Julai – Menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand Disember ini, persatuan sukan kebangsaan diminta untuk mematuhi kriteria pemilihan umum atlet ke temasya itu yang telah ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Terdapat dua kategori kriteria yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada 1 Julai lalu.
Atlet perlu berada di rangking 3 terbaik Asia Tenggara - Foto Olahraga Malaysia
Kriteria pemilihan umum dan sistem kelayakan itu dikongsikan Olahraga Malaysia (MA) dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Bagi kategori A, membabitkan sukan individu, semua atlet perlu berada dalam ranking tiga terbaik Asia Tenggara untuk terpilih mewakili negara.
Manakala bagi sukan berpasukan, pasukan mesti berada dalam empat terbaik dalam ranking serantau.
Sukan berpasukan pula mesti berada dalam rangking 4 terbaik serantau - Foto Akuatik Malaysia
Kategori B pula, bagi sukan individu dan berpasukan, atlet atau pasukan mestilah dalam enam terbaik di Asia Tenggara.
Prestasi atlet akan dinilai sepanjang tempoh September 2023 hingga Ogos 2025 dengan hanya kejohanan yang mempunyai sekurang-kurangnya empat penyertaan negara Asia Tenggara akan diiktiraf sebagai kejohanan penanda aras.
Prestasi atlet dinilai sepanjang tempoh September 2023 hingga Ogos 2025 - Foto Wushu Malaysia
Dalam pada itu, jawatankuasa berkenaan turut meluluskan penggunaan sistem kelayakan yang dibangunkan oleh setiap persatuan sukan kebangsaan sebagai dokumen rujukan rasmi, dengan syarat ia sejajar dengan kriteria umum yang ditetapkan oleh MOM.
MOM juga akan terus bekerjasama dengan pihak Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan semua persatuan terlibat bagi memastikan kontinjen negara ke Sukan SEA ke-33 bersedia sepenuhnya dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di pentas serantau.
Temasya Sukan SEA Thailand, akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember 2025 di tiga lokasi iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.