fb fb fb fb fb

Harimau Malaya tarik diri sertai Piala CAFA 2025

Perubuhan tarikh kejohanan membuatkan Harimau Malaya tarik diri daripada sertai Piala CAFA 2025

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Skuad Harimau Malaya menarik diri daripada menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025.

Perkara itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan menarik diri itu dibuat susulan perubahan tarikh kejohanan yang berlaku pada saat akhir.

Tarikh baharu kejohanan yang dikemas kini selepas undian rasmi dilakukan, iaitu dari 29 Ogos hingga 8 September, kini bermula di luar kalendar rasmi FIFA.

1607 SKN MAS TARIK DIRI CAFA CUP 2Beberapa pemain negara juga beraksi di liga-liga utama antarabangsa - Foto FAM

"Sebagai sebuah pasukan kebangsaan yang berpandangan jauh dan strategik, setiap keputusan yang dibuat adalah berasaskan tanggungjawab terhadap kebajikan pemain, kerjasama erat bersama kelab, serta komitmen kepada kemajuan berterusan bola sepak negara.

"Walaupun pada awalnya kami amat berbesar hati dan teruja untuk menyertai kejohanan ini, perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran yang kini jatuh di luar jendela antarabangsa FIFA telah menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan," menurut kenyataan itu.

Menurut FAM, perubahan tarikh itu memberikan cabaran memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka dan situasi itu secara langsung menjejaskan usaha untuk membentuk skuad terbaik bagi kejohanan tersebut.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata, beberapa pemain negara juga beraksi di liga-liga utama antarabangsa.

1607 SKN MAS TARIK DIRI CAFA CUP 3Kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain di luar kalendar rasmi FIFA - Foto FAM

“Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun. Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa yang singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini.

"Selain itu, isu logistik, keperluan pemulihan pemain, serta implikasi terhadap bajet keseluruhan turut menjadi faktor penting. Saya tidak mahu menjejaskan kebajikan serta kondisi pemain atau menyertai kejohanan dengan skuad yang tidak lengkap.

"Ini adalah satu keputusan yang tepat dan strategik. Fokus kami kini beralih sepenuhnya kepada kem latihan pada jendela September sebagai persiapan terbaik menjelang aksi penting pada Oktober dan November, perlawanan menentang Laos dan Nepal,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai langkah alternatif, skuad kebangsaan akan melaksanakan kem latihan penuh di Kuala Lumpur pada September yang akan menjadi platform utama dalam memperkukuhkan persiapan menjelang Pusingan Kelayakan Piala Asia yang semakin hampir.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK