fb fb fb fb fb

Atletico setuju tandatangani Almada dari Botafogo

Thiago Almada/ Foto REUTERS

MADRID, 16 Julai – Kelab LaLiga, Atletico Madrid, mengesahkan sudah mencapai persetujuan perpindahan dengan kelab Brazil, Botafogo, untuk mendapatkan pemain tengah Argentina, Thiago Almada.

Ia bergantung kepada keputusan pemeriksaan kesihatan dan pemeteraian kontrak rasmi nanti.

“Atletico Madrid dan Botafogo telah mencapai kata sepakat dan perpindahan akan dimuktamadkan selepas pemain menjalani pemeriksaan perubatan serta menandatangani kontrak,” menurut kenyataan rasmi kelab itu pada Selasa.

Menurut laporan media tempatan, Almada dijangka menandatangani kontrak sehingga tahun 2030 dengan yuran perpindahan dianggarkan sekitar 21 juta euro.

Almada, juara Piala Dunia 2022 bersama Argentina, memulakan kerjaya profesionalnya bersama Velez Sarsfield pada tahun 2018 sebelum berhijrah ke kelab Major League Soccer (MLS), Atlanta United.

Beliau menikmati musim cemerlang bersama Botafogo dengan memenangi Siri A Brazil dan Copa Libertadores pada 2024, sebelum dipinjamkan ke kelab Ligue 1, Olympique Lyonnais pada Januari lalu.

Perpindahan ini dijangka memperkukuh barisan tengah Atletico bagi menghadapi kempen domestik dan Eropah musim akan datang -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN