fb fb fb fb fb

Nafuzi akui pertahanan Harimau Malaya lemah

Malaysia tewas 0-2 kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala AFF 2025 - Foto FAM

JAKARTA, 16 Julai - Ketua Jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain mengakui kelemahan pertahanan menjadi punca utama kekalahan 0-2 kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A Kejuaraan AFF B-23 2025 di Stadium Gelora Bung Karno di sini, semalam.

Walaupun kecewa dengan keputusan, Nafuzi tetap memuji semangat juang tinggi anak buahnya yang kebanyakannya masih muda dan kurang pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.

1607 SKN REAX NAFUZI PIALA AFF 4Nafuzi Zain akui pertahanan Harimau Malaya leka dan gugup ketika berdepan Filipina - Foto FAM

“Secara keseluruhan, pertahanan kita ada sedikit kelekaan dan gugup di awal permainan, dan itu memberi ruang kepada Filipina menjaringkan gol.

“Kami cuba bangkit dan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan keputusan seri, tetapi apabila ketinggalan ia menjadi lebih sukar,” katanya selepas perlawanan.

Beliau berkata kebanyakan pemain berusia sekitar 19 hingga 21 tahun dan perlawanan itu merupakan peluang terbaik untuk mereka menimba pengalaman dan kematangan.

1607 SKN REAX NAFUZI PIALA AFF 3Skuad Harimau Malaya B-23 gagal bangkit untuk cipta jaringan - Foto FAM

Mengenai status kecederaan dua tonggak, Alif Izzuan dan Muhammad Haqimi Azim Rosli, Nafuzi berkata pihaknya sedang menunggu laporan terperinci daripada pasukan perubatan.

Selain itu, beliau juga berharap penyokong dari Malaysia dapat hadir memberi sokongan sekiranya pasukan mara ke pusingan seterusnya, terutama jika bertemu tuan rumah, Indonesia.

1607 SKN REAX NAFUZI PIALA AFF 2Skuad negara mahu perbaiki permainan berdepan Brunei pada Jumaat ini - Foto FAM

“Sokongan peminat penting. Walaupun mereka tiada di sini, saya tahu pasukan tetap mendapat sokongan daripada Malaysia.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat menghadiahkan kemenangan, namun kami akan memperbaiki persiapan untuk menentang Brunei pada Jumaat dan Indonesia nanti, yang pastinya sukar,” katanya. - BERNAMA

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK