JAKARTA, 16 Julai - Skuad Harimau Malaya Bawah 23 tahun (B-23) kendalian Nafuzi Zain, perlu bangkit dalam dua lagi perlawanan Kumpulan A Piala AFF B-23 2025 selepas kecundang kepada Filipina pada aksi pembukaan di Stadium Gelora Bung Karno, di sini semalam.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan di laman Facebook, memaklumkan Presiden Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berharap, kebangkitan itu dapat dilakukan bagi mencerahkan peluang ke peringkat seterusnya.
Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub (kanan) bersama Presiden PSSI, Erick Thohir hadir menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Filipina - Foto FAM
"Malaysia seterusnya akan menentang Brunei pada aksi kedua, Jumaat ini sebelum mengakhiri saingan Kumpulan A menentang tuan rumah, Indonesia pada 21 Julai 2025.
"Datuk Mohd Joehari berharap skuad muda negara mampu bangkit ketika berdepan Brunei dan Indonesia bagi mencerahkan peluang layak ke separuh akhir," menurut kenyataan itu.
Skuad Harimau Malaya B-23 kendalian Nafuzi Zain tewas 0-2 kepada Filipina - Foto FAM
Terdahulu Datuk Mohd Joehari hadir memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya B-23 ketika berdepan Filipina, semalam.
Beliau ditemani Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir dan wakil Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Pada aksi tersebut, skuad B-23 negara terpaksa akur dengan kekalahan 2-0.