KUALA LUMPUR, 16 Februari - Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 tahun kebangsaan, E. Elavarasan akur dengan keputusan tidak menghantar pasukannya ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, September depan.
Elavarasan berkata, penjelasan menyeluruh berhubung keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu akan dimaklumkan minggu hadapan.
"Minggu depan akan ada sidang media, masa tu mungkin pihak FAM mungkin boleh menerangkan lebih dalam lagi jadi buat masa ini kita hanya fokus dengan persiapan.
"Kita kena tunggu persatuan lah untuk umumkan - jadi mungkin dalam minggu depan kita akan tahu hala tuju," katanya.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata keputusan itu dibuat susulan penganjuran Sukan Asia begitu hampir dengan tarikh pusingan Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun 2024 yang dijadual berlangsung pada bulan yang sama.
PIhaknya mengambil kira pusingan kelayakan itu lebih penting dalam memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Sukan Asia 2022 dijadual berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober akan datang manakala pusingan Kelayakan Piala Asia dijangka bermula dari 4 hingga 12 September ini.