fb fb fb fb fb

Yew SIn-Ee Yi kejutkan Aaron-Wooi Yik di pusingan pertama Terbuka Jepun

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Bekas juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dikejutkan dengan kekalahan seawal pusingan pertama di Terbuka Jepun 2025 selepas tumpas kepada beregu profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, hari ini.

Dalam kejohanan bertaraf Super 750 yang berlangsung di Tokyo Metropolitan Gymnasium, pasangan nombor dua dunia itu tewas 15-21, 15-21 dalam pertarungan selama 30 minit.

Kemenangan bergaya itu menyaksikan Yew Sin-Ee Yi mengakhiri badi tiga kekalahan berturut-turut menentang Aaron-Wooi Yik yang juga juara Kejohanan Badminton Asia 2024.

Pasangan bukan pilihan itu dijadual bertemu sama ada pasangan tuan rumah Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura atau wakil Amerika Syarikat Chen Zhi Yi-Presley Smith di pusingan kedua esok.

Dalam satu lagi pertarungan sesama beregu Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengambil masa 42 minit bagi menundukkan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dengan kemenangan 30-28, 21-12.

Pasangan pilihan keenam itu bakal berdepan pasangan China Huang Di-Liu Yang yang sebelum itu menyingkirkan wakil Thailand Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-19, 21-16.

Sementara itu, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah memulakan kempen dengan aksi penuh meyakinkan apabila menewaskan beregu Bulgaria Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-16, 21-14.

Pasangan pilihan ketiga itu dijadual bertemu pasangan Taiwan Hsieh Pei Chan-Hung En-Tzu yang mengatasi wakil Amerika Syarikat Francesca Corbett-Jennie Gai 21-18, 21-14.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH