MULHEIM AN DER RUHR, 16 Julai - Skuad badminton negara berada dalam momentum terbaik dan bermotivasi tinggi untuk memulakan misi memburu pingat pada Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Rhine-Ruhr di sini.
Pemain perseorangan lelaki Jacky Kok Jing Hong berkata hubungan akrab dalam kalangan pemain yang terjalin sejak kem latihan pusat sebelum ini antara kekuatan utama pasukan itu.
Penuntut Universiti Malaya (UM) itu berkata suasana harmoni dan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan pemain diyakini mampu memberi kelebihan terutama dalam acara berpasukan campuran yang akan membuka tirai di Westenergie Sporthalle, Jumaat ini.
“Rakan sepasukan semua nampak positif, kami banyak luangkan masa bersama, pergi makan bersama dan berjalan bersama ke mana-mana. Semua ini kita teruskan dari kem latihan pusat. Saya rasa ini sesuatu yang sangat bagus untuk acara berpasukan akan datang.
“Jika kami keluarkan apa yang terbaik dalam permainan nanti apa-apa pun boleh berlaku, lagi pun format pertandingan hanya 15 mata. Kami hanya perlu buat yang terbaik dan sokong antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan rasmi di sini hari ini.
Bagi acara berpasukan campuran, Malaysia diundi dalam Kumpulan D hanya bersama Kanada.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad badminton Datuk Rashid Sidek berkata anak buahnya tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak menewaskan Kanada.
“Kita kena menang dengan Kanada untuk jadi juara kumpulan supaya boleh dapat laluan mudah di pusingan kalah mati. Walau macam mana pun kita kena main yang terbaik, jangan pandang rendah dan main seperti biasa,” katanya.
Selain Rashid, bekas pemain beregu lelaki kebangsaan Mohd Zakry Abdul Latif turut bertindak sebagai jurulatih pasukan negara yang menyasarkan untuk memperbaiki kutipan pingat pada edisi lepas.
Sebagai rekod, kem badminton menyumbangkan dua pingat gangsa masing-masing dalam acara beregu lelaki dan berpasukan campuran pada edisi di Chengdu, China.
WUG 2025 dijadualkan berlangsung dari 16 sehingga 27 Julai.- BERNAMA