fb fb fb fb fb

Masters Malaysia: Axelsen sekat impian Zii Jia rangkul juara

Aksi pemain perseorangan lelaki Malaysia Lee Zii Jia bersama pemain Denmark Viktor Axelsen (kanan) pada pusingan akhir perlawanan Kejohanan Badminton Masters Malaysia Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Mei - Penantian pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk merangkul kejuaraan sulung di laman sendiri lebur apabila gagal mempamerkan aksi cemerlang pada final Masters Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil di sini hari ini.

Pemain yang menghuni ranking ke-10 dunia itu tewas mudah 6-21 di set pertama di tangan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dalam pertarungan tiga set pada aksi final kejohanan berkenaan.

Namun, pemain berusia 26 tahun itu mencetuskan kebangkitan di set kedua menerusi pertarungan dengan aksi lebih bertenaga untuk menang 22-20 sekali gus mengheret permainan ke set penentuan dan tewas 21-13.

Selaku juara, pemain Denmark itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$31,500 (RM148,191) manakala Zii Jia yang terpaksa berpuas hati dengan naib juara AS$15,960 (RM75,083).

Pencapaian terbaik Zii Jia dalam Malaysia Masters ialah penampilan separuh akhir pada 2020 apabila tewas kepada juara Kento Momota dari Jepun manakala mara ke suku akhir pada 2019.

GRACE AISYAH KEDAYAN