fb fb fb fb fb

Masters China: Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir, Pearly-Thinaah akur tewas

Foto FB BWF

KUALA LUMPUR, 19 September- Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila mara ke pusingan separuh akhir Masters China.

Aksi yang berlangsung di Shenzhen Arena itu menyaksikan wakil negara menang dalam aksi straight sets, 21-19 dan 21-18 berdepan Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana dari Indonesia.

Gandingan negara bakal membuat perhitungan di pusingan separuh akhir menentang pilihan kelapan kejohanan iaitu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India.

Dalam aksi separuh akhir esok, juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut akan turun merebut slot ke pentas akhir Super 750 itu.

Mereka bakal berdepan wakil tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Sementara itu, nasib malang menimpa beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah apabila gagal meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir.

Pasangan itu tumpas di tangan gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.

Pasangan pilihan kedua kejohanan itu dikejutkan pada set pertama 21-23 sebelum bangkit menyamakan kedudukan dengan kemenangan tipis 21-19 pada set kedua.

Namun, perlawanan penentuan berlangsung sengit apabila kedua-dua beregu saling berbalas mata, sebelum Ha Na-So Hee yang menghuni ranking ketujuh dunia menutup aksi dengan kemenangan 22-20.

Kekalahan itu sekali gus menafikan peluang Pearly-Thinaah yang kini berada di ranking kedua dunia untuk mara ke kelompok empat terbaik.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM