BERLIN, 20 September – Bekas pertahanan Jerman, Jerome Boateng yang membantu negaranya menjuarai Piala Dunia 2014, secara rasmi mengumumkan persaraannya daripada bola sepak pada Jumaat.
Boateng, 37, memuat naik klip berdurasi satu minit di media sosial yang memaparkan sorotan kariernya sambil mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak.
“Saya bermain untuk tempoh yang panjang, bersama kelab besar dan negara saya. Saya belajar, menang, kalah, dan berkembang melaluinya. Bola sepak telah memberi saya banyak perkara, kini tiba masanya untuk melangkah ke hadapan. Bukan kerana saya terpaksa, tetapi kerana saya sudah bersedia,” katanya.
Sepanjang kariernya, Boateng membuat 76 penampilan bersama Jerman dengan satu jaringan. Bersama Bayern Munich, beliau meraih dua kejuaraan Liga Juara-Juara (2013, 2020) serta sembilan gelaran Bundesliga.
Dilahirkan di Berlin, Boateng memulakan karier di akademi Hertha Berlin bersama abangnya, Kevin-Prince. Beliau kemudian bermain untuk Hamburg dan Manchester City sebelum berhijrah ke Bayern, di mana beliau menempa kegemilangan.
Selepas meninggalkan Bayern pada 2021, Boateng beraksi di Perancis (Lyon), Itali (Salernitana) dan Austria (LASK), sebelum menamatkan kontraknya dengan LASK pada Ogos lalu. -AFP
