fb fb fb fb fb

Masih buntu kemenangan, Amorim desak pemain 'lebih matang'

Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, memberi arahan kepada pemain semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Fulham dan Manchester United di Craven Cottage di London/Foto AFP

MANCHESTER, 25 Ogos – Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim, menggesa anak buahnya supaya lebih matang selepas mereka sekadar seri 1-1 menentang Fulham pada Ahad, meneruskan permulaan hambar tanpa kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Walaupun menguasai babak pertama di Craven Cottage, United gagal memanfaatkan peluang, termasuk sepakan penalti oleh Bruno Fernandes yang tersasar tinggi pada minit ke-38.

United akhirnya mendahului selepas jaringan sendiri Rodrigo Muniz pada minit ke-58, namun Fulham bangkit menyamakan kedudukan menerusi Emile Smith Rowe 17 minit sebelum tamat permainan.

“Selepas kami menjaringkan gol, kami seperti lupa cara bermain,” kata Amorim, yang kini hanya mencatat 7 kemenangan dalam 29 perlawanan Liga Perdana sejak mengambil alih tugas.

“Kami terlalu terdesak mahu menang, jadi bila mendahului, semua mula bermain untuk mempertahankan kelebihan. Sepatutnya ketika itu kami perlu menekan lebih kuat, bukan undur ke belakang.

"Kami Perlu Dewasa Sebagai Pasukan," katanya.

Bagaimanapun, Amorim memuji usaha keras skuadnya sepanjang minggu, namun menegaskan bahawa kematangan taktikal masih menjadi isu utama.

“Kami bekerja keras. Tapi kami perlu banyak berkembang sebagai satu pasukan. Gol kami ironinya jadi detik yang mengubah permainan. Kami terlalu cepat selesa," tambahnya.

Menurut Amorim, tumpuan ketua pasukan, Bruno Fernandes, juga jelas terganggu selepas kegagalan menyempurnakan sepakan penalti.

“Sebagai kapten, dia memikul tanggungjawab besar. Tapi dalam bola sepak, anda kena letakkan kesilapan itu di belakang dan teruskan bermain. Saya rasa dia terlalu memikirkan sepakan yang dia gagal itu sepanjang baki perlawanan,” jelas Amorim.

Sementara itu, Pengendali Fulham, Marco Silva, meluahkan rasa kecewa terhadap dua keputusan besar yang dianggap memihak kepada United.

“Saya tidak faham. Seluruh dunia nampak apa yang berlaku di Craven Cottage hari ini.

“Saya tidak mahu ulas panjang, tapi kita semua tahu apa yang kita saksikan," ” kata Silva.

Penalti skuad The Red Devils diberi selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) melibatkan perebutan antara Calvin Bassey dan Mason Mount.

Gol United tiada semakan VAR dilakukan walaupun Bassey kelihatan ditolak oleh Leny Yoro dalam gerakan yang membawa kepada gol sendiri Muniz.

Keputusan akhir perlawanan menyaksikan Fulham 1 – 1 Manchester United. Keputusan lain Crystal Palace 1 (Sarr 37) Nottingham Forest 1 (Hudson-Odoi 57) dan Everton 2 (Ndiaye 23, Garner 52) Brighton 0. - AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI