LIMONE PIEMONTE, 25 Ogos – Pelumba basikal Denmark, Jonas Vingegaard, menjuarai peringkat kedua Vuelta a España pada Ahad dalam pendakian mendebarkan sejauh 10 kilometer (km) ke Limone, sekali gus mengambil alih jersi merah pendahulu keseluruhan.
Dalam cuaca hujan renyai dan suhu sekitar 20°C, Vingegaard berjaya memintas pelumba Itali, Giulio Ciccone dan pelumba Britain, Tom Pidcock dalam 100 meter terakhir untuk mencatat kemenangan pertamanya sejak Februari.
“Saya sangat gembira dengan prestasi hari ini dan kerja keras pasukan dan sudah tentu, dapat memakai jersi merah adalah satu kepuasan besar,” kata Vingegaard dari pasukan Visma.
Dalam perlumbaan itu, Ciccone dari pasukan Lidl-Trek menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala David Gaudu dari Groupama-FDJ berada di kedudukan ketiga keseluruhan. Manakala Egan Bernal (Ineos) dan Pidcock masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima.
Perlumbaan peringkat kedua ini merupakan satu daripada empat peringkat awal yang bermula di Itali, menampilkan pendakian terakhir dengan purata cerun lebih lima peratus serta kabus tebal di puncaknya.
Vingegaard dan Pidcock turut terlibat dalam kemalangan di kaki pendakian tersebut.
“Saya jatuh agak teruk, tapi mujurlah tidak cedera serius. Cuma lebam sedikit. Mungkin sebab jalan licin, saya tergelincir lebih banyak daripada tergesel,” tambah Vingegaard.
Sementara itu, pemegang jersi merah semalaman, Jasper Philipsen, tidak mampu untuk mengekalkan tempo dan terkeluar daripada kelompok hadapan di penghujung perlumbaan.
Peloton kini bersedia menghadapi peringkat ketiga hari ini, melibatkan pendakian sepanjang hari dalam laluan 134.6km ke Ceres, merentasi Banjaran Graian Alps yang berliku dan mencabar. - AFP
