BALATONFOKAJAR, 24 Ogos - Pelumba Ducati, Marc Marquez muncul juara Grand Prix Hungary pertama selepas 33 tahun apabila menamatkan saingan di Litar Balaton Park, pada Ahad.
Beliau turut mencatat kemenangan berganda dalam perlumbaan pecut buat kali ketujuh berturut-turut sekali gus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan MotoGP dengan kelebihan 175 mata.
Marquez yang bermula di petak utama kehilangan kedudukan pada pusingan pertama sehingga terkeluar daripada kelompok podium, namun juara dunia enam kali itu kembali bangkit untuk merampas semula tempat teratas.
Pedro Acosta (KTM) dan Marco Bezzecchi (Aprilia) masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga, sementara juara bertahan, Jorge Martin, berada di kedudukan keempat – keputusan terbaiknya bersama Aprilia sejak pulih daripada kecederaan.
Sementara itu, adiknya, Alex Marquez dari pasukan Gresini Racing yang kini di tempat kedua keseluruhan, hanya mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14 selepas terjatuh pada awal saingan. - REUTERS
