NEW YORK, 25 Ogos – Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS Open) bermula sehari lebih awal pada Ahad dengan jadual baharu yang dipanjangkan kepada 15 hari, menandakan perubahan terbesar dalam sejarah kejohanan Grand Slam terakhir tahun ini.
Ia membolehkan pusingan pertama acara perseorangan lelaki dan wanita berlangsung selama tiga hari, berbanding dua hari sebelum ini, sekali gus membuka peluang kepada lebih 70,000 penonton tambahan untuk hadir selepas mencatat rekod kehadiran tiga tahun berturut-turut .
Cuaca cerah sekitar 23.9 darjah Celcius menyambut ribuan penonton di Pusat Tenis Nasional Billie Jean King, dengan beberapa bintang utama memulakan kempen masing-masing.
Bintang muda AS, Ben Shelton, yang baharu menjuarai kejohanan Masters 1000 di Toronto, menepati ramalan apabila menundukkan pemain kelayakan Peru, Ignacio Buse, 6-3, 6-2, 6-4 di Stadium Arthur Ashe.
Shelton kini membawa harapan untuk menamatkan penantian 22 tahun tanpa juara lelaki AS sejak Andy Roddick melakukannya pada tahun 2003.
Rakan senegara Shelton, Taylor Fritz, turut melakar kemenangan, manakala juara 2021, Emma Raducanu, mara ke pusingan kedua buat kali pertama sejak kejuaraan bersejarahnya di Flushing Meadows.
“Shelton nampak bagus, dia baharu menang di Toronto, jadi saya rasa dia boleh pergi jauh di Terbuka AS kali ini,” kata seorang peminat dari Westchester, Ryan Treta.
Bagi aksi wanita, peminat memberi tumpuan kepada pemain pilihan tuan rumah Jessica Pegula selain Aryna Sabalenka dari Belarus dan Raducanu yang kembali cemerlang.
Aksi kemuncak hari pembukaan menyaksikan jaguh 24 kali juara Grand Slam, Novak Djokovic menentang pemain muda AS, Learner Tien, sebelum Pegula turun menentang bintang Mesir, Mayar Sherif. -REUTERS
